Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara
orang alim tadi dengan iblis. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim
itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah, meminta-
minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakitan dia berkata, "Tuan,
maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan.
Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan
sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas
empat dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"
Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si
alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia teringat akan saban hari
rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan saja dia sudah boleh menjadi
orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah
niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.
Demikianlah, semenjak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si
alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat
benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu
juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai
terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari
keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi
kecuali tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin
sudah dihabiskan sama sekali.
Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat
lapan dinar sekaligus."
Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai
sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong.
"Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu."
"Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga
ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu.
Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia
memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis yang
berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke
mana kamu?" herdiknya menggegar.
"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.
"Berhenti, jangan lanjutkan."
"Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang."
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah,
tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan, "Dengan
kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak
berdaya sama sekali?"
Iblis itu dengan angkuh menjawab, "Tentu saja engkau dahulu boleh menang,
kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata
kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu
mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang
di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu,
tidak mungkin kamu mampu menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak,
kupatahkan nanti batang lehermu."
Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan
niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia
pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar
bahawa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah, dan ia
sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari
kesiaan yang berlanjutan . Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi
keutamaan Allah dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk
kepentingan hawa nafsu semata-mata ?
"Barang siapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha)
memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah
berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula,
hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."
Hadis Riwayat Muslim