Jawab rahib itu, "Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka jatuhlah
telekan makrifat (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama engkau.
Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan
sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan
kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang
engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah
syahadah)."
"Maka sukacitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun
meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami
mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika,
rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil haram, tiba-tiba aku
mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah."
Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, "Hai Ibrahim,
sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah kamu
akan persahabatan dan persaudaraanku denganmu."
Sebaik saja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir
iaitu pulang ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, "Maka aku berasa amat
dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan
dan pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan
yang begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah."
Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, "Bukankah engkau ini sahabat aku
kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?"
Dia menjawab, "Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi
dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku)
kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di
dunia dan berhampiran dengan engkau di akhirat."
Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama itu
akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang dahulunya
beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah, maka dia ditarik
kepada Islam dan mengalami ajaran-ajarannya."