Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka 'Uzair pun
berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap
sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan
daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali
bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia
pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya
dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah
berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah
menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik saja dia
sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding
rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya,
dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah tuan
'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi
dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan
saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini saja." Kata perempuan itu
sambil menitiskan airmata.
'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. "Saya telah dimatikan oleh Tuhan
seratus tahun dahulu dan sekarang saya sudah dihidupkan oleh Allah kembali."
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu
adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan
telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat."
Sambungnya lagi, "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan
lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair.
Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan supaya mata
saya terang kembali dan dapat melihat tuan."
"Uzair pun menadah kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-
tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi.
Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah
merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat."
Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang
ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair yang pernah
hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada
yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian
semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair.
Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat
bahawa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu.
Kalau ada benarlah dia 'Uzair."
Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. Akan
tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada
'Uzair, "Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil
dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang
pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair saja. Kalau benarlah tuan Uzair,
cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah
walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar
itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil pun percaya bahawa dialah 'Uzair yang
telah mati dan dihidupkan semula oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam
dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi
sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan
pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada 'Uzair mahupun Isa kerana semua
makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang kekuasaan
Allah, maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil
sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih
ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu saja, hendaklah
dia membaca dan memahami al-Quran, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya
datangnya dari syaitan.
Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu
gunakanlah akal kita untuk berfikir.