Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke
dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang.
Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang
tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari
himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka
orang di pasar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan
anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu
bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu
dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyeksakan himar itu."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun
dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki,
sedangkan himar itu tidak dikenderai."
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah
menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka
orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah
S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi
pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku,
tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya
tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis
keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan
diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih
celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-
rendahkan dan meringan-ringankannya."