Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam
bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah
pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang
engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau
terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau
daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu
kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi
sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya.
Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi
sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila
ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur
'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah
mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi
itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun
menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun
meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu
terkeluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang
mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai
Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu
dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu
pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar
dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan
harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh
putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya
dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging
pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun
terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan penjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu
dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ
kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui
kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi
pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan
perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah
kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau
makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya
jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan
menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan
nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu
khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah
untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang
busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang
sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita,
sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari.
Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang
menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa
kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah
hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat
pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya
pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang
dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang
benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu,
hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.