Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy
di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah sekali-kali membiarkan
Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah
kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia mencela tuhan yang kita
sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahawa esok aku akan
membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika
dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu
menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman
kaum kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka
sukai."
Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri
perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, "Demi Tuhan, kami tidak akan
sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata
yang diucapkan oleh Abu Jahal bahawa dia akan menghapuskan Muhammad kerana
jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah
segala keresahan dan kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan
Rasulullah S.A.W menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira perbelanjaan untuk
mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W berjaya dihapuskan. Pada
pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang
dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak
akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus pergi
ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W bersembahyang. Dengan
langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan membawa seketul batu besar di
tangan sambil diiringi oleh beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia
mengajak kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan
menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.
Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad
nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila
membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan
juga membayangkan bagaimana kaum Quraisy akan menyambutnya sebagai pahlawan
yang telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.
Sebaik saja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya Rasulullah S.A.W
baru saja sampai dan hendak mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi
Muhammad S.A.W tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di
situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap
dirinya pada hari itu.
Sebaik-baik saja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula bersembahyang, dia
berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad S.A.W.
Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disedari
oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur
gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini akan musnahlah engkau hai
Muhammad."
Sebaik saja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan menghayun
batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang
dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi
seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi
Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.
Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki
walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal
dari situ sebelum disedari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan
kejadian yang dialaminya.
Sebaik saja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar untuk
mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah
sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak
menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?"
Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin kehairanan. Abu Jahal
yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah seranah
Nabi S.A.W, tiba-tiba saja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru
menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, malah dia
sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W pergi ke
rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahawa Abu Jahal
telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada
baginda apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah
S.A.W.
Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka
Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua,
sebaik saja aku menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke
kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku
amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur
hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh
unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku."
Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak
menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi
Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata saja. Orang yang selama ini diharapkan
boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan pengaruhnya hanya berupaya
bercakap seperti tin kosong saja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka
mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan kehairanan, "Ya Abu Jahal,
semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh
tetapi kau tidak nampak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun
kami tidak nampak."
Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu
Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka
mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka
tidak berapa endahkan lagi.