Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki yang
berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah
tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang memanggilnya. Para
peniaga itu memanggil lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan
kami!"
Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata, "Apa
hal?" Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa. Peniaga itu berkata, "Wahai wali
Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir
tenggelam ini?"
Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada Allah."
Para penumpang itu berkata, "Apa yang mesti kami buat?"
Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."
Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat.
Kemudian mereka berkata, "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami
asalkan jiwa kami semua selamat."
Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca
Bismillah."
Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan
berjalan menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir. Tidak
berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi muatan beratus ribu ringgit itu pun
tenggelam ke dasar laut.
Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke laut. Para
penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat
kapal yang tenggelam itu.
Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu wahai wali Allah?"
Wali Allah itu berkata, "Saya ialah Awais Al-Qarni."
Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang
tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang
jutawan Mesir."
WaliAllah berkata, "Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu
betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"
Peniaga itu berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah."
Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan
solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah S.W.T agar kapal itu
ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.
Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di
atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang.
Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran
ke tempat yang dituju. Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali
Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagi-bahagikan harta kepada semua
fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal. Wallahu a'alam.