Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam seksaan dalam kubur,
walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan
Allah. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang
kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu
mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.
Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang
dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada
hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah
dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat
Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah saja, aku boleh
menghafal untuk menjawabnya."
Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat
menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang
akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-
Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.