Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan
perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian
kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia,
sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang
wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan
saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah
mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah
kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya
kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai
orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan
teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi
orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat
bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam
keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu.
Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika
kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api
peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan
dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu
akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang
kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing
untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah
memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas
panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja
semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari
ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan
tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat,
namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan
dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-
ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah
memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar
dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa
lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh
anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang
berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya
wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah
bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat
keluarga Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah
menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat
seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri Mari!
Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri
Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati Atau
tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-
abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula
kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat
tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahaya, dan
musnah mangsa oleh senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan
syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran
terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya
tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera
berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam
dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian
lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang
menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lainnya. Kesempatan ini digunakan
oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi
dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai
dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah
teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan
diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur.
Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang
7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik
Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa
memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa
menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus
memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka,
dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan
mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan
meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa
peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada
yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."