Yunus bin Matta adalah seorang nabi yang di utuskan oleh Allah s.w.t
untuk berdakwah di sebuah tempat bernama Niwana. Nabi Yunus seorang
pendatang ke Niwana semata-mata atas perintah Allah s.w.t untuk
berdakwah kepada penduduknya.
Nabi Yunus mendapati penduduk Niwana merupakan manusia yang
menyekutukan Allah dengan menyembah berhala. Nabi Yunus mengajar
mereka tentang ilmu tauhid dan keimanan. Nabi Yunus juga memberi
nasihat kepada mereka tentang kebodohan mereka menyembah berhala
sedangkan berhala itu adalah hasil buatan manusia. Nabi Yunus
menasihatkan mereka bahawa berhala tersebut tidak dapat memberi
apa-apa manfaat kerana berhala itu tidak boleh bergerak dan berkata-
kata. Nabi Yunus mengingatkan mereka supaya menyembah Allah s.w.t
yang telah menciptakan manusia dan Allah sajalah yang wajib ditaati.
Oleh kerana ajaran yang di bawa oleh Nabi Yunus itu ajaran baru, maka
tidak ramai manusia yang mahu menerimanya. Mereka lebih suka
menyembah berhala-berhala yang di sembah oleh datuk nenek mereka
secara turun temurun. Walaupun Nabi Yunus memberi nasihat, tetapi
mereka tetap berkeras dengan berkata "Ini adalah Tuhan kami (yakni
berhala-berhala), datuk nenek kami telah lama menyembah tuhan-tuhan
kami dan kami tetap tidak akan berganjak dari meninggalkan agama
kami".
Nabi Yunus berkata "Aku hanya menyampai apa yang Allah menyuruh aku
sampaikan kepada kamu semua, oleh itu kamu beriman dan bertauhidlah
menurut agama yang aku bawa sebagai amanat Allah s.w.t". Berkata Nabi
Yunus lagi "Aku ini hanyalah pesuruh yang mana Allah s.w.t telah
perintahkan kepadaku supaya menyelamatkan kamu semua daripada
lembah kesesatan dan lembah kegelapan serta menyiarkan kepada kamu
tentang agama yang suci bersih lagi murni dan membersihkan hati-hati
kamu dari kufur dan syirik, demi untuk kebaikan kamu di dunia dan di
akhirat."
Walaupaun Nabi Yunus telah memberi nasihat serta pengajaran supaya
kembali ke pangkal jalan, mereka tetap dengan pendiriannya dan
berkata "walau apa sekalipun kamu katakan kepada kami, kami tetap
tidak akan berganjak dari agama kami dan kami juga tidak takut walau
apa pun ancaman yang kamu katakan dan kalau mahu cubalah datangkan
ancaman itu kepada kami, kalau kamu memang orang yang benar."
Setelah Nabi Yunus melihat keadaan mereka yang tidak menerima
peringatannya itu, maka Nabi Yunus pun meninggalkan Niwana dengan
rasa amat marah. Nabi Yunus berdoa kepada Allah supaya mereka yang
keras kepala menerima hukuman yang sewajarnya. Sejak Nabi Yunus
meninggalkan Niwana mereka gelisah melihatkan perubahan yang berlaku
di tempat tinggal masing-masing.
Penduduk melihat Niwawa mengalami kegelapan, binatang peliharaan
mereka juga seperti tidak tenteram dan di tambah pula dengan angin
yang sangat kuat serta guruh yang mengegarkan. Dengan berlakunya
perkara-perkara ini maka tahulah mereka bahawa ajaran yang dibawa
oleh Nabi Yunus itu adalah ajaran yang benar dan bukan satu ajaran yang
direka. Akhirnya mereka menyesal dan keluar beramai-ramai dari kota
pergi ke bukit lalu meminta ampun dan rahmat Allah s.w.t agar
dijauhkan daripada sebarang malapetaka.
Allah s.w.t Maha Mengetahui akan hambaNya yang menyesal dan mohon
ampun dariNya, maka Allah s.w.t pun menerima permintaan mereka, lalu
Niwana yang gelap bertukar menjadi cerah, binatang ternakan tidak lagi
dalam ketakutan dan mereka kembali tenang. Akhirnya mereka semua
kembali dengan bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menyelamatkan
mereka dari bahaya malapetaka. Nabi Yunus telah meninggalkan Niwana
membawa diri tanpa tujuan.
Baginda naik bukit turun bulit, naik gunung turun gunung dan akhirnya ia
sampai di pantai. Kebetulan pada masa itu dia melihat sebuah kapal
hendak belayar, maka dia pun menghampiri pemilik kapal itu untuk turut
serta belayar bersamanya. Setelah diberi keizinan maka Nabi Yunus
menumpang kapal tersebut. Dalam pelayaran itu, kapal yang ditumpangi
Nabi Yunus telah dilanda ribut taufan yang kuat.
Oleh itu kapten kapal telah memutuskan supaya barang yang dibawa
hendaklah dikurangkan. Ini termasuk penghuni kapal kapal tersebut. Satu
pengundian telah dibuat dan dalam undian tersebut Nabi Yunus dipilih
sebagai orang yang harus dibuang ke laut. Oleh sebab Nabi Yunus adalah
orang yang sangat dihormati dan disanjung, maka mereka mengadakan
pemilihan sekali lagi dan kali kedua Nabi Yunus tetap terpilih.
Maka mereka mengundi sekali lagi dan akhirnya Nabi Yunus tahu bahawa
ia adalah kehendak Allah. Nabi Yunus memikirkan kesalahannya kerana
meninggalkan Niwana tanpa mendapat persetujuan Allah. Ia berfikir
keputusan undi itu adalah disebabkan untuk menebus dosa yang telah
dilakukannya. Nabi Yunus beristikharah, tanpa ragu-ragu Nabi Yunus
terjun ke dalam laut yang sedang bergelombang ganas.
Ketika Nabi Yunus sedang berlawan dengan gelombang, maka Allah s.w.t
mengarahkan seekor ikan nun (yu) supaya menelan Nabi Yunus hidup-
hidup, maka ikan nun yang muncul itu pun menelan Nabi Yunus dan
menyimpannya dalam perut tanpa ada cacat-celanya. Ketika Nani Yunus
berada dalam perut ikan nun dia berdoa kepada Allah supaya
mengampuni dosa yang telah dilakukan. Lalu Nabi Yunus membaca doa:
"Tidak ada Tuhan yang benar di sembah hanya Engkau ya Allah, mahasuci
Engkau aku adalah orang yang membuat zalim atas diriku."
Maka Allah perkenankan permintaannya dan Allah lepaskan dia daripada
kedukaan. Demikianlah Allah selamatkan orang yang beriman. Rasulullah
bersabda maksudnya:
"Nama tuhan yang mulia, siapa yang berdoa dengan nama itu akan
diperkenankan doanya. Siapa yang meminta dengan nama itu, akan
diberi apa yang diucapkan oleh Nabi Yunus dalam perut ikan nun."
Firman Allah bermaksud "Jika tidak kerana dia (Nabi Yunus) daripada
orang yang selalu mengucapkan tasbih, nescaya tidaklah ia dapat
keluar dari perut ikan sampai hari kiamat."
Setelah beberapa lama Nabi Yunus berada dalam perut ikan nun, maka
Allah pun melemparkan Nabi Yunus ke darat. Di tempat Nabi Yunus
dilemparkan Allah menghidupkan pokok labu yang dapat Nabi Yunus
bernaung di bawahnya dan dapat pula ia makan buat tersebut dan
kembali segar. Ketika Nabi Yunus dilemparkan ke darat keadaannya amat
letih.
Setelah Nabi Yunus berasa segar kembali maka Allah telah
memerintahkannya supaya kembali ke Niwana. Nabi Yunus terkejut
kerana penduduk sedang menanti
kepulangannya. Penduduk tersebut meminta Nabi Yunus mengajar untuk
menyempurnakan akidah dan imam mereka. Nabi Yunus berasa hairan
kerana penduduk Niwana dahulunya terdiri daripada orang yang ingkar
dengan perintah Allah tetapi kini hidup dan mati mereka semata-mata
kerana Allah.