"Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya berkata: 'Ya
Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik.
Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa. Kemudian Malaikat
(Jibril) memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan solat
di mihrab (katanya): 'Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu
dengan kelahiran (seorang puteramu) Yahya, yang membenarkan
kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi ikutan, menahan diri (dari
hawa nafsu) dan seorang nabi termasuk keturunan orang-orang
soleh." (QS. Ali 'Imran: 38-39)
"Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh.
Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih anak-anak, dan
rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dari
dosa). Dan ia adalah seorang yang bertakwa, dan banyak berbakti
kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong dan
derhaka. Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan, dan pada
hari itu ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan kembali." (QS.
Maryam: 12-15)
"Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu
akan (memperoleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang
sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa
dengan dia." (QS. Maryam: 7)
Inilah Yahya seorang Nabi yang Allah SWT bersaksi bahawa sebelumnya
tak seorang pun yang serupa dengannya. Yaitu seorang Nabi yang Allah
SWT berkata tentangnya:
"Dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami." (QS. Maryam:
13)
Sebagaimana Khidir diberi ilmu dari sisi Allah SWT, maka Yahya diberi
rasa cinta dari sisi Allah SWT. Al-Hanan ialah ilmu yang luas yang
terkandung di dalamnya sesuatu kecintaan yang dalam terhadap makhluk
dan alam. Hanan ialah salah satu dari tingkat cinta yang bersumber dari
ilmu. Yahya adalah seorang Nabi yang menjadi cermin dari ibadah,
zuhud, dan cinta. Nabi Yahya mengungkapkan cinta kepada semua
makhluk. Ia dicintai oleh manusia, burung-burung, binatang buas, bahkan
gurun dan gunung. Darah Nabi Yahya tertumpah ketika beliau berusaha
mempertahankan kebenaran yang disampaikannya di istana raja yang
lalim. Peristiwa tragis itu berkaitan dengan seorang penari pelacur. Para
ulama banyak menyebutkan keutamaan Yahya. Yahya hidup sezaman
dengan Nabi Isa dan termasuk kerabat dekatnya dari sisi ibu (anak
bibinya).
Ada hadis yang meriwayatkan bahawa Yahya dan Isa pernah bertemu
pada suatu hari. Lalu Isa berkata kepada Yahya, mintakanlah ampun
bagiku wahai Yahya. Sesungguhnya engkau lebih baik daripada aku.
Yahya berkata: "Mintakanlah ampun bagiku wahai Isa kerana engkau lebih
baik daripada aku." Isa berkata: "Tidak, engkaulah yang lebih baik
daripada aku. Engkau mengucapkan salam kepadaku sedangkan Allah
SWT mengucapkan salam kepadamu." Kisah tersebut menunjukkan
keutamaan Yahya ketika Allah S"WT menyampaikan salam kepadanya
pada hari ia dilahirkan, pada hari ia mati, dan pada hari ia dibangkitkan
kembali dalam keadaan hidup. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw
pernah pergi dan menemui para sahabatnya. Pada suatu hari, beliau
mendapati mereka sedang menyebut-nyebut keutamaan para nabi. Ada
yang mengatakan, Musa kalimullah (seorang nabi yang diajak bicara oleh
Allah SWT). Ada yang mengatakan, Isa ruhullah (tiupan roh Allah SWT).
Dan ada juga yang mengatakan, Ibrahim khalilullah (seorang kekasih
Allah SWT).
Demikianlah para sahabat berbicara tentang para nabi lalu Rasulullah
saw menemui mereka. Ketika Rasul saw mendapati mereka tidak
menyebut nama Yahya, beliau berkata: "Di manakah putera seorang
syahid yang mendapatkan banyak penderitaan, yang memakan pohon
kerana takut dosa, di manakah Yahya bin Zakaria."
Sementara itu, datanglah musim semi di Palestina dan bumi tampak
semakin menghijau dan langit semakin terang. Bulan dengan cahayanya
menembus puncak-puncak pohon dan kebun. Bunga-bunga mawar dan
jeruk semakin berkembang dan baunya tersebar ke udara. Dan burung-
burung yang sedang berterbangan tampak bernyanyi dan melantunkan
lagu-lagu kegembiraan di tengah-tengah suasana yang ceria dan penuh
keindahan.
Kemudian lahirlah Yahya. Kelahiran Yahya dipenuhi banyak mukjizat.
Beliau lahir pada saat ayahnya Zakaria berusia lanjut sehingga tampak
seakan-akan ia putus asa kerana tidak akan mempunyai keturunan. Beliau
lahir melalui doa yang suci yang bersumber dari hati Nabi Zakaria yang
suci dan tulus. Nabi Yahya lahir di tengah-tengah masa yang dipenuhi
dengan puncak kesucian sebagaimana juga dihiasi dengan puncak
kelaliman. Maryam adalah simbol puncak kesucian di zamannya.
Mihrabnya penuh dengan bau yang harum yang memancarkan kalimat-
kalimat solat yang terus menerus dan zikir yang bersumber dari hati yang
suci. Masjid tampak dipenuhi dengan gelombang orang-orang yang solat
dan orang-orang mukmin yang berzikir. Namun nun jauh di sana
kelaliman tetap membunyikan genderangnya.
Yahya dilahirkan dan masa kecilnya tidak seperti lazimnya masa yang
dilalui oleh anak-anak. Umumnya anak-anak saat itu bermain hal-hal
yang tidak berguna, sedangkan Yahya tampak serius sejak beliau kecil.
Anak-anak kecil saat itu merasa senang dan terhibur ketika mereka
menyeksa binatang, sementara Yahya justru memberi makan bintang-
binatang dan burung dari makanannya sebagai bentuk belas kasihan
darinya, bahkan terkadang Yahya sendiri makan dari daun-daun pohon
atau buahnya. Ketika beliau menginjak usia dewasa, maka cahaya
wajahnya semakin bersinar dan hatinya penuh dengan hikmah dan cinta
kepada Allah SWT serta kedamaian. Yahya adalah seseorang yang
menyukai membaca sejak usia dini. Beliau rajin membaca dan menggali
ilmu. Ketika beliau masih kecil, Allah SWT memanggilnya: "Hai Yahya,
ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan
kepadanya hikmah selagi ia masih anak-anak."
Yahya mendapatkan perintah—saat beliau masih kecil—untuk mengambil
Kitab dengan kekuatan. Yakni, hendaklah ia belajar kitab dengan penuh
ketelitian, Yaitu kitab syariat. Allah SWT memberinya kemampuan untuk
mengetahui syariat dan memutuskan perkara manusia saat beliau masih
kecil. Yahya adalah orang yang paling alim di zamannya dan paling
banyak menerima hikmah. Beliau mempelajari syariat secara sempurna.
Oleh kerana itu, Allah SWT memberinya kekuasaan saat beliau masih
kecil. Beliau mampu menyelesaikan persoalan di antara manusia dan
menjelaskan mereka rahsia-rahsia agama, bahkan beliau mengenalkan
mereka jalan kebenaran dan mengingatkan mereka dari jalan kesalahan
atau kebatilan. Kemudian Yahya semakin dewasa dan ilmunya makin
bertambah serta kasih sayangnya pun makin meningkat, baik kepada
kedua orang tuanya mahupun kepada binatang. Kasih sayang Nabi Yahya
meliputi segala sesuatu.
Beliau mengajak manusia untuk bertaubat dari dosa mereka; beliau
memandikan mereka di sungai Jordania agar mereka menyucikan diri
mereka dengan taubat; beliau mengajak mereka untuk menyembah Allah
SWT. Di sana tidak terdapat seseorang yang tidak suka kepada Yahya
atau menginginkan keburukan baginya. Yahya adalah seseorang yang
sangat dicintai oleh masyarakatnya kerana ia memang seorang yang
penyayang, seorang yang bertakwa, seorang yang alim, dan seorang yang
berbudi mulia. Beliau keluar dan pergi ke gunung dan kebun bahkan
gurun dan tinggal di dalamnya selama berbulan-bulan untuk menyembah
Allah SWT dan menangis di hadapan-Nya serta solat. Beliau merasakan
kedamaian di daratan, bahkan beliau tidak memperhatikan makanannya.
Beliau makan dari daun-daun pohon dan minum dari air sungai. Bahkan
beliau makan belalang dan juga rumput. Beliau tidur di gua mana pun
yang ditemuinya di gunung dan lubang mana pun yang didapatinya di
bumi.
Terkadang beliau masuk di suatu gua gunung lalu beliau menemukan
binatang buas di dalamnya seperti serigala atau singa namun kerana
kesibukannya dan konsentrasinya saat berzikir kepada Allah SWT dan
solat sehingga beliau tidak lagi memperhatikan serigala atau singa.
Serigala dan singa itu melihat Nabi Yahya lalu mereka mengetahui
bahawa ini adalah seorang Nabi Allah SWT yang sangat berbelas kasih
kepada binatang, maka binatang-binatang buas itu menundukkan
kepalanya dan meninggalkan tempat itu dengan tenang sehingga Nabi
Yahya tidak mendengar suara mereka.
Pada kesempatan yang lain, Nabi Yahya memberi makan binatang-
binatang buas dengan penuh kasih sayang. Bahkan beliau tidak makan di
malam harinya kerana makanannya diberikan kepada binatang-binatang
itu. Beliau merasa puas saat menjadikan solat dan zikir sebagai makanan
dari hatinya sebelum beliau memberi makanan pada tubuhnya. Beliau
makan dari daun-daun pohon. Beliau bermalam atau bergadang dalam
keadaan air matanya berlinangan saat berzikir kepada Allah SWT dan
tenggelam dalam lautan cinta dan bersyukur kepada-Nya. Ketika Nabi
Yahya berdiri di depan manusia untuk mengajak mereka menyembah
Allah SWT, maka beliau mampu membuat mereka menangis kerana cinta
dan khusyuk. Beliau mampu mempengaruhi hati mereka dengan
kebenaran yang dibawanya dan beliau menampakkan bahawa beliau
memang dekat dengan Allah SWT.
Pada suatu hari, Nabi Yahya keluar menemui manusia. Masjid tampak
ramai dipenuhi orang-orang. Nabi Yahya berdiri dan beliau mulai
berbicara: "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan aku untuk
menyampaikan kalimat-kalimat yang telah aku kerjakan dan aku telah
memerintahkan kalian untuk juga mengerjakannya. Hendaklah kalian
menyembah Allah SWT dan tidak menyekutukan-Nya. Barang siapa yang
menyekutukan Allah SWT dan menyembah selain-Nya, maka ia seperti
seorang budak yang dibeli oleh majikannya lalu ia bekerja dan
memberikan tenaganya kepada tuan selain tuannya. Siapakah di antara
kalian yang ingin memiliki budak seperti itu. Dan aku memerintahkan
kalian untuk melaksanakan solat. Sesungguhnya Allah SWT melihat
hamba-Nya saat ia solat. Oleh kerana itu, jika kalian solat, maka
hendaklah kalian berusaha untuk khusyuk. Aku pun memerintahkan kalian
untuk berpuasa, maka siapa yang melakukan demikian, maka ia seperti
seseorang lelaki yang mempunyai bingkisan dari misik yang baunya
harum. Setiap lelaki ini berjalan, maka akan terpancarlah bau harum
misik darinya. Aku pun memerintahkan kalian agar banyak melakukan
zikir kepada Allah SWT, maka orang seperti itu seperti seorang lelaki
yang dicari-cari oleh musuhnya lalu ia segera berlindung dalam benteng
yang kuat. Dan benteng yang paling kuat adalah zikrullah dan tiada
keselamatan tanpa benteng itu."
Nabi Yahya mengakhiri nasihatnya lalu ia turun dari mimbar dan kembali
ke gurun. Di gurun itu hanya terdapat pasir yang berterbangan dan tiada
suara lain selain suara angin dan nafas pohon serta suara kaki-kaki
binatang buas dan gerakan batu-batu gunung. Di sanalah Yahya berdiri di
tengah-tengah kesunyian ini. Beliau melaksanakan solat dan menangis.
Kemudian terjadilah pergelutan hebat antara Nabi Yahya dan pemerintah
yang berkuasa. Salah seorang penguasa di zaman itu adalah seorang yang
lalim dan sempit akalnya. Kerosakan tersebar di istananya. Ia mendengar
berita tentang Yahya. Ia heran kerana banyaknya manusia yang
memberikan penghargaan dan penghormatan yang luar biasa kepada
Yahya sedangkan ia sebagai seorang raja tidak mendapatkan
penghormatan yang demikian besar.
Raja tersebut ingin memperkosa isteri saudaranya di mana ia mempunyai
anak perempuan yang memiliki kecantikan yang terkenal. Dalam cerita
disebutkan bahawa anak perempuan itu mampu melakukan tarian yang
mengagumkan sambil memakai tujuh helai baju. Setiap ia menari, maka
terlepaslah setiap baju yang dipakainya dan pada tarian yang terakhir, ia
tampak dalam keadaan telanjang.
Raja bertanya kepada Yahya, apakah ia boleh menikahi isteri saudaranya.
Yahya menjawab, itu tidak diperbolehkan. Raja tetap berbicara kepada
Yahya dan mendesak kepadanya agar membolehkannya menikah dengan
wanita yang disukainya itu, dan hendaklah Yahya mencari solusi atau
fatwa yang sangat memuaskannya. Namun Yahya menolak keras untuk
memenuhi permintaan raja itu. Kemudian Yahya pun meninggalkannya.
Akhirnya, raja tampak marah kepada Yahya dan memerintahkan agar
Yahya dipenjara. Kemudian raja itu pun memperkosa isteri saudaranya.
Anak perempuan wanita itu yang suka menari telah melihat Yahya saat ia
berbicara dengan raja. Anak perempuan itu sangat tertarik akan
ketampanan Yahya dan keagungan keperibadiannya.
Ringkasnya, wanita yang ahli menari itu pun merasa jatuh cinta kepada
Yahya. Ia pergi menemui Yahya di penjaranya dan ia melihat Yahya
dalam keadaan duduk solat dan menangis. Wanita itu terus mengawasi
Yahya saat beliau solat sampai selesai. Lalu ia meletakkan dirinya di
bawah kaki Yahya dan memintanya agar mencintainya sebagaimana ia
mencintai Yahya. Yahya menjawab bahawa di dalam hatinya tidak ada
cinta lain selain cinta kepada Allah SWT. Wanita itu pun bangkit dari
tempatnya dalam keadaan putus asa. Ia meninggalkan Yahya dalam
keadaan hatinya dipenuhi kebencian padanya. Ia kembali ke istana raja.
Waktu Isyak telah berakhir. Raja mulai meminum minuman kesukaannya,
yaitu khamr. Wanita itu memberikan minum kepada raja. Makin
banyaknya raja minum, sampai-sampai raja merasa bahawa kepalanya
seperti belon besar dan ia sebentar lagi akan terbang. Di sanalah wanita
penari itu segera memakai pakaian tarian dan kembali kepada raja. Raja
melihatnya dan ia merasa kepalanya bertambah besar dan wanita itu
mulai menari. Lalu dipukullah rebana dan berbagai alat muzik sehingga
wanita itu tampak menari dan menikmati tariannya. Pada tarian ke tujuh
ia berhenti lalu membuka wajahnya sambil berkata kepada raja: "Wahai
tuanku, aku ingin bertanya sedikit kepadamu." Raja yang sedang mabuk
itu berkata: "Segala sesuatu yang engkau inginkan akan kuberikan
kepadamu sekarang juga." Wanita itu berkata: "Aku menginginkan kepala
Yahya bin Zakaria."
Mendengar perkataan itu, raja segera sadar dari mabuknya lalu ia
merasakan ketakutan. Ia berkata kepadanya: "Mintalah kepadaku yang
lain saja." Wanita itu berkata: "Aku menginginkan darah Yahya bin
Zakaria." Wanita ini adalah simbol keburukan. Raja berkata sambil
minum minuman keras yang keempat kalinya setelah empat puluh kali:
"Bunuhlah Yahya!" Akhirnya, pemimpin pasukan raja mengeluarkan
perintah kepada anak buahnya untuk menghabisi Yahya. Kemudian Yahya
menemui ajalnya secara tragis dan meneguk madu syahadah.
Injil Mata pada pasal yang keempat belas menyebutkan suatu riwayat
sebagai berikut:
"Hirdus telah menangkap Yuhana lalu ia memasukkan ke dalam
penjara kerana Hirduya isteri dari saudaranya. Sebab Yuhana berkata
kepadanya, engkau tidak boleh mengambilnya sebagai isterimu. Ia
ingin membunuh Yuhana tetapi ia khuatir terhadap reaksi masyarakat
kerana mereka menganggapnya sebagai seorang Nabi. Ketika
diadakan acara kelahiran Hirdus salah seorang perempuan anak dari
Hirduya menari di tengah-tengah para hadirin sehingga Hirdus merasa
kagum, kerananya kemudian ia bersumpah bahawa apa pun yang
diminta penari itu akan diturutinya. Wanita itu berkata: "Berikanlah
kepadaku kepala Yuhana." Sebetulnya raja itu keberatan tetapi ia
sudah terlanjur bersumpah dan disaksikan orang-orang di sekitarnya,
maka ia pun memerintahkan agar permintaan wanita itu dituruti.
Kemudian kepala Yuhana dikirim dari penjara, dan diberikan kepada
gadis itu, lalu gadis itu membawanya kepada ibunya."