Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga
dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana
Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut,
sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain."
Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan,
bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'Arasy, kursi dan syurga ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk
bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang
yang baik)."
Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan
bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-
utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling
sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syariatnya juga di
tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan
diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah
mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa
kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta
kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit)
sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi
wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail)
bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada
malam ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke
Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang
di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara
40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis
bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa
engkau menangis, ya buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad
sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku
sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi.
Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau
rindukan itu."
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan
membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam.
Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk
dan Mikraj.