Setelah selesai pembinaan Baitullah, maka Allah S.W.T memerintahkan Nabi Ibrahim memberi
kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah. Firman Allah S.W.T yang
bermaksud, "Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka
akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-
jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh."
(surah al-Haj ayat 27).
Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat
dengan baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah, "Wahai sekalian manusia,
sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu
hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana."
Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan. Allah S.W.T
menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah
dan itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardu haji, kerana haji itu tidak akan sah
tanpa talbiah.
Bacaan talbiah antara lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, aku datang
untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah.
Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila
kita sudah mampu melaksanakannya. Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka
dari menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan
maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu, hendaklah kita mulakan
dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.
Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia saja haji
yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah S.W.T. Dan ini adalah salah satu
punca mereka yang kembali dari menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat.
Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-
kerja yang dimurkai oleh Allah S.W.T sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim
yang sempurna. Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk
amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah S.W.T.