Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin
Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat. Ketika itu
datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai itu. Maka terjadilah
jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang diamanahkan tuannya tadi.
Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus dirham.
Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua ratus
dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta mengurangkan harganya
tadi. Ditengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu
bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang dibeli dari kedainya
tadi. Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar
Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga barang ini kamu beli?"
Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham."
"Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham saja. Mari ke kedai saya supaya
saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar Yunus
lagi.
"Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga
yang empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah
lima ratus dirham."
Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya juga
agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang baki kepada
badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah atas perbuatanmu
menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar Yunus lagi.
"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus dirham."
Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia dipihak yang benar.
Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu amanah
untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap diri kita
sendiri."
Jika kisah ini dapat dijadikan teladan bagi peniaga-peniaga kita yang beriman,
amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang jujur dan
amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan
tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan.
Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap harga,
yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap
bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut aku
lantaran menzalimi di jiwa atau dihargai." (Diriwayat lima imam kecuali imam Nasa'i)