'Auj bin Unuq adalah manusia yang berumur sehingga 4,500 tahun. Tinggi tubuh
badannya di waktu berdiri adalah seperti ketinggian air yang dapat menenggelamkan
negeri pada zaman Nabi Nuh a.s. Ketinggian air tersebut tidak dapat melebihi lututnya.
Ada yang mengatakan bahawa dia tinggal di gunung. Apabila dia merasa lapar, dia akan
menghulurkan tangannya ke dasar laut untuk menangkap ikan kemudian
memanggangnya dengan panas matahari. Apabila dia marah atas sesebuah negeri,
maka dia akan mengencingi negeri tersebut hinggalah penduduk negeri itu tenggelam di
dalam air kencingnya.
Apabila Nabi Musa bersama kaumnya tersesat di kebun teh, maka 'Auj bermaksud untuk
membinasakan Nabi Musa bersama kaumnya itu. Kemudian 'Auj datang untuk
memeriksa tempat kediaman askar Nabi Musa a.s., maka dia mendapati beberapa
tempat kediaman askar Nabi Musa itu tidak jauh dari tempatnya. Kemudian dia
mencabut gunung-gunung yang ada di sekitarnya dan diletakkan di atas kepalanya
supaya mudah untuk dicampakkan kepada askar-askar Nabi Musa a.s.
Sebelum sempat 'Auj mencampakkan gunung-gunung yang dijunjung di atas kepalanya
kepada askar Nabi Musa a.s, Allah telah mengutuskan burung hud-hud dengan
membawa batu berlian dan meletakkannya di atas gunung yang di junjung oleh 'Auj.
Dengan kekuasaan Allah, berlian tersebut menembusi gunung yang di junjung oleh 'Auj
sehinggalah sampai ke tengkuknya. 'Auj tidak sanggup menghilangkan berlian itu,
akhirnya 'Auj binasa disebabkan batu berlian itu.
Dikatakan bahawa ketinggian Nabi Musa a.s adalah empat puluh hasta dan panjang
tongkatnya juga empat puluh hasta dan memukulkan tongkatnya kepada 'Auj tepat
mengenai mata dan kakinya. Ketika itu jatuhlah 'Auj dengan kehendak Allah S.W.T dan
akhirnya tidak dapat lari daripada kematian sekalipun badannya tinggi serta memiliki
kekuatan yang hebat.